Tiada lokasi baharu disahkan positif penyakit selesema burung (H5N1) di Kelantan sejak 10 hari lepas, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam kenyataan berkata sehingga kini, 36 kawasan disahkan positif wabak itu melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu di 15 lokasi, Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Bachok (enam), Pasir Puteh (tiga) dan Tanah Merah (satu).

"Operasi pelupusan telah selesai dijalankan di 36 lokasi berkenaan. Secara keseluruhan, sebanyak 56,953 ternakan unggas dan 17,531 biji telur dimusnahkan serta 3,792 sampel diambil daripada 647 pemilik ternakan unggas," kata kenyataan itu.

Melalui operasi sekatan jalan raya, sebanyak 5,415 kenderaan telah diperiksa dengan 30 kes rampasan dibuat melibatkan 165 ekor unggas.

Setakat ini tiada jangkitan H5N1 dikesan dalam kalangan manusia, kata JPV.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri pada 15 Mac lalu selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Menurut JPV, negeri lain kekal bebas wabak itu, namun berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi. -- BERNAMA