Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa tiada jangkitan penyakit anjing gila atau virus rabies di Melaka.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ujian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dirawat di Hospital Melaka kerana disyaki dijangkiti virus rabies membuktikan dia bebas daripada penyakit itu.

"Bagaimanapun, saya masih tidak dimaklumkan mengenai punca sebenar penyakit (kanak-kanak itu). Namun ada banyak virus lain yang boleh menunjukkan simpton serupa (dengan virus rabies)," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Hospital Bera di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Dr Subramaniam berkata perkembangan itu menjadikan penyakit virus rabies hanya berlaku di Serian, Sarawak, yang setakat ini telah menyebabkan kematian empat kanak-kanak, sejak dikesan pada 30 Jun lalu.

Pada 14 Julai lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Datuk Ghazali Othman mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak disyaki menghidap penyakit itu di Hospital Melaka, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Kanak-kanak itu didakwa digigit anjing semasa keluarganya pulang berhari raya di Serian, dan bapa kanak-kanak itu pada awalnya menghantarnya ke Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak pada 12 Julai selepas demam selama sebulan.

Dr Subramaniam juga optimis bahawa penyakit virus rabies di Serian boleh dikawal ekoran kerjasama dan tindakan bersama antara kementeriannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Kementerian Kesihatan memantau mereka yang terkena gigitan anjing sejak April lalu jika terdapat tanda-tanda virus rabies manakala veterinar melakukan tindakan ke atas anjing termasuk anjing liar di situ," katanya.

Dr Subramaniam juga tidak menolak kemungkinan virus rabies yang berlaku di Serian berpunca dari Kalimatan, Indonesia memandangkan penyakit itu juga dikesan berlaku di situ dan pergerakan sempadan di kawasan itu begitu aktif, termasuk pergerakan anjing.

"Saya juga diberitahu oleh Menteri Kesihatan Indonesia pada pertemuan baru-baru ini yang anjing banyak digunakan di estet di sana untuk menghalau kehadiran haiwan lain menyebabkan jumlah anjing di sana banyak," katanya.

-- BERNAMA