Jangkitan malaria di Pos Kemar di Gerik dan Pos Poi di Sungai SIput tidak mempunyai kaitan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Program Malaria, Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ummi Kalthom Shamsuddin berkata ia sebaliknya berpunca daripada dua parasit berbeza.

"Apa yang berlaku di Pos Kemar adalah wabak disebabkan parasit Plasmoduim Vivax yang melibatkan 137 kes, manakala di jangkitan malarian di Pos Poi melibatkan parasit Plasmodium Falciparum, maknanya ia adalah dua jangkitan yang berbeza."

"Jadi adalah agak sukar untuk mengaitkan jangkita kes di kedua pos berkenaan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Pada masa sama, ujar beliau, tidak mungkin bagi vektor penyebab malaria iaitu nyamuk Anopheles atau nyamuk tiruk untuk terbang sebegitu jauh.

Jarak antara Pos Kemar dan Pos Poi adalah kira-kira 42 kilometer.

"Kebiasaannya nyamuk vektor iaitu nyamuk Anopheles boleh terbang sejauh 2 kilometer. Jadi jarak antara kedua pos berkenaan iaitu 42 km menjadikannya agak sukar untuk nyamuk tiruk dari Pos Kemar bertanggungjawab. Ini kerana bukan sahaja parasit berbeza tetapi dari segi pergerakan nyamuk juga tidak memungkinkannya," katanya.

Namun beliau tidak menolak ia boleh disebabkan oleh pergerakan Orang Asli antara kedua pos berkenaan.

Ia berikutan terdapat satu kes Plasmoduim Falciparum dikenalpasti di Pos Kemar yang rata-rata dijangkiti Plasmoduim Vivax.

Dr Ummi juga tidak menolak kemasukan pekerja asing dan pergerakan manusia ke negara endemik malaria juga boleh menyumbang kepada jangkitan malaria di Malaysia.

"Memang tidak dinafikan tetapi Jabatan Kesihatan Hulu Perak telah menjalankan saringan pekerja asing warga Bangladesh di Pos Kemar melibatkan 71 orang, namun semuanya negatif Malaria."

"Namun itu sahaja yang dapat kami lihat kerana mereka juga banyak bergerak. Bagi pekerja asing haram pula, mereka akan lari apabila mereka melihat pegawai kesihatan kami," katanya.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Kesihatan Kelantan juga telah diarahkan supaya melakukan saringan Malaria ke atas penduduk di perkampungan Orang Asli yang bersempadan dengan Perak agar kes Malaria dapat dikesan segera.