Kerajaan akan memastikan tiada pihak atau kaum yang ketinggalan dalam usaha mencapai mobiliti sosial secara vertikal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia faktor penting dalam memastikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai.

Jelasnya, soal pendidikan merupakan satu aspek yang difahami harus sempurna dari segi keperluan semua kaum di negara ini.

"Di dalam soal untuk memberikan kemudahan-kemudahan dan peluang-peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia, tiba masanya untuk kita mengetepikan kotak pemisah di antara etnik di Malaysia ini.

"Di dalam bidang pendidikan kita lupakan sama ada kita Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan atau lain-lain bangsa. Pendidikan adalah keutamaan kerajaan untuk kita memberikan mobiliti sosial secara vertikal," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-35 Sri Murugan Centre (SMC) di sini hari ini.

BACA: Kerajaan sasar 50 peratus rakyat Malaysia miliki diploma, ijazah menjelang 2050

TONTON:
Pusat sosial dan pembangunan budaya Sri Murugan Centre

Yang turut hadir, Pengarah SMC, Tan Sri Dr. M. Thambirajah; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Mobiliti sosial adalah suatu gerak perpindahan dari satu kelas sosial ke kelas sosial lainnya atau gerak pindah dari status yang satu ke status yang lainnya.

Ia juga merupakan suatu gerak dalam struktur sosial iaitu pola tertentu yang mengatur organisasi suatu kelompok sosial.

Struktur sosial turut merangkumi sifat hubungan antara individu dalam kelompok dan hubungan antara individu dengan kelompoknya.

Struktur itu merangkumi mobiliti horizontal yang bermaksud pergerakkan seseorang dari satu kedudukan sosial kepada yang lain dalam status yang sama sementara mobiliti vertikal bermakna pergerakan seseorang dari satu kedudukan sosial kepada yang lain dalam status yang berbeza.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan 50 peratus rakyat Malaysia memiliki diploma dan ijazah menjelang 2050.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3 juta kepada SMC.