Bahan radioaktif yang ditemui dalam sebuah kotak di gudang Pos Aviation Sdn Bhd di sini disahkan sebagai Iridium Metalsolid 192 yang sering digunakan dalam bidang perubatan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Negeri Selangor , Hafisham Mohd Noor, setelah siasatan dilakukan, pihaknya mendapati tiada sebarang kebocoran bahan radioaktif dikesan berlaku di kawasan tersebut.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kotak yang digunakan untuk menyimpan bahan itu didapati telah basah pada bahagian bawah.

“Bahan radioaktif itu adalah Iridium Metalsolid 192 yang berada di dalam bekas, namun apabila salah seorang pekerja (memeriksa), dia mendapati bahagian bawah kotak itu telah basah.

“Tahap kesedaran kakitangan itu paling tinggi jadi apabila dia nampak keadaan itu pelik, dia segera menghubungi (pihak bomba) untuk memastikan benda itu selamat ... namun kami mengesahkan tiada sebarang kebocoran.

“Tempat itu kini selamat,” katanya, ketika dihubungi di sini pada Khamis.


BACA: Kebocoran bahan radioaktif di Gudang Pos Aviation, Sepang

Hafisham turut memaklumkan bahawa operasi di gudang itu disambung semula seperti biasa dan masih di bawah pemantauan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Terdahulu, satu kebocoran bahan radioaktif didakwa berlaku di gudang Pos Aviation Sdn Bhd berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Khamis.