Kementerian Pendidikan buat masa ini tidak menghadapi masalah kekurangan guru bahasa Inggeris, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Sebaliknya, beliau berkata jumlah guru opsyen bahasa Inggeris yang mengalami kekurangan.

"Kami mempunyai anggaran guru-guru. Untuk masa ini sebenarnya kita tidak mengalami kekurangan guru bahasa Inggeris kerana kami menambah dengan guru interim atau guru bukan opsyen.

"Guru opsyen, ya, kami mengalami kekurangan tetapi mengajar bahasa Inggeris kami tiada masalah. Kami maklum dengan kekurangan guru opsyen sebab itu kami cuba yang terbaik untuk menangani isu ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Guru Malaysia 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock yang menyatakan Kementerian Pendidikan seharusnya menyelesaikan isu 'pokok' iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris terlebih dahulu berbanding mengarahkan guru menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Mengulas lanjut, Amin berkata kementerian sedang menangani isu kuantiti dan kualiti guru bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran itu.

Menurutnya, usaha itu telah bermula sejak tahun 2013 sehingga kini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Sementara itu, mengulas cadangan pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Aminudin Adam mengenai keperluan memperkenalkan satu skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada para guru, Amin berkata kementerian bersetuju dan menyambut baik cadangan itu.

Beliau berkata pihaknya mengarahkan YGMB mengemukakan cadangan untuk melihat mekanisme terbaik seperti perlindungan dan bayaran untuk skim perlindungan berkenaan.

"Pada dasarnya kementerian mengalu-alukan cadangan YGMB untuk mewujudkan skim perlindungan kemalangan terutama untuk guru-guru yang terlibat dalam aktiviti membawa pelajar keluar," katanya.

Amin berkata skim perlindungan kemalangan berkelompok ini lebih murah berbanding skim perlindungan kemalangan individu.

-- BERNAMA