Semua pengusaha pengangkutan awam tidak dibenarkan menaikkan tambang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKPB.

"Mesyuarat hari ini telah memutuskan untuk tidak membenarkan pengusaha pengangkutan awam menaikkan tambang pengangkutan itu walaupun prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hanya membenarkan penggunaan 50 peratus sahaja kapasiti penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, permohonan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh boleh dibuat mulai hari ini.

"Mesyuarat telah bersetuju untuk memberikan kebenaran pergerakan rentas negeri untuk bertemu keluarga masing-masing (dengan kekerapan) seminggu sekali sahaja.

"Bagaimanapun, mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis yang berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyarat itu juga telah bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan berkaitan kebajikan haiwan, termasuk pusat equestrian untuk beroperasi.

Jelasnya, kebenaran itu adalah untuk memastikan kebajikan haiwan dijaga termasuk pemberian makanan dan pembersihan kandang.