Polis Kontinjen Sabah beranggapan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi usaha mengesan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Musa Aman yang dilaporkan hilang dan kononnya berada di luar negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, beliau beranggapan perkara itu tidaklah begitu serius sehingga terpaksa mendapatkan bantuan Interpol dan pihaknya tetap menanti sehingga Musa muncul untuk memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut.

Jelasnya tanpa mendedahkan kedudukan sebenar bekas ketua menteri itu, Ramli berkata, pihaknya sudah menghubungi Musa melalui beberapa 'cara' dan mendakwa beliau (Musa) akan kembali semula ke negeri ini.

"Beliau tidak berada di KK (Kota Kinabalu) sejak 14 Mei lalu, ketika ini kita perlu rekod keterangan (beliau) dahulu, kita boleh tunggu dan lihat bagaimana nanti.

"Kami sudah cuba menghubungi beliau melalui beberapa cara dan meminta beliau pulang, mereka berkata beliau (Musa) akan pulang," katanya.

BACA: Musa Aman berbaju merah, bertopi di London?

BACA: Musa Aman tidak ikut undang-undang Jabatan Imigresen?


Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan di KDCA, Penampang, hari ini.

Untuk rekod, Musa kini berhadapan dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan ugutan jenayah namun, tidak ada waran yang dikeluarkan berhubung ugutan jenayah terhadap Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini.

Beliau dilaporkan tidak berada di negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 14 Mei lalu untuk menemui dan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BACA: 'Kehilangan' Musa Aman masih misteri

BACA: Musa Aman sedia beri kerjasama - Peguam


Terbaru, sebuah video yang dimuat naik pengguna laman Facebook mendakwa terlihat kelibat Musa yang berbaju serba merah dan bertopi sedang berada di Stesen Keretapi St Pancras International, London, England.

Tular lebih 15 jam yang lalu, video berkenaan turut dikongsikan ramai netizen sehingga menimbulkan pelbagai reaksi sama ada individu 'berbaju merah' itu adalah Musa ataupun sebaliknya.