Tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bintulu, Sarawak susulan peningkatan satu kes positif COVID-19 di daerah itu hari ini.

Namun proses pengesanan kontak akan terus dilaksanakan bagi menjejaki mereka yang berpotensi dijangkiti wabak berkenaan.

Demikian ulasan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin apabila ditanya langkah kerajaan negeri Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak susulan pertambahan kes terbaharu itu.

“Kes terbaharu ini merupakan kontak daripada kes yang sebelumnya dan ia dikesan menerusi pengesanan kontak (contact tracing) yang dijalankan.

“Buat masa PKPD tidak perlu dikuatkuasakan di kawasan terlibat namun kita akan terus menjalankan pengesanan kontak,” ujarnya semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.

BACA: Tiga kes terbaharu positif COVID-19 di Sarawak libatkan sebuah keluarga

Pada Selasa, Sarawak merekodkan tiga kes terbaharu COVID-19 yang melibatkan sebuah keluarga di Bintulu yang juga merupakan ahli keluarga kepada kes terbaharu yang dicatatkan hari ini.

Keempat-empat kes ini merupakan hasil saringan dan pengesanan kontak kepada kes ke-557 di negeri itu.