Tiada keperluan untuk menubuhkan pasukan rawatan khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun bentuk perubatan yang terbaik akan terus diberikan kepada pemimpin pembangkang itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pembentukan pasukan perubatan khas itu adalah tidak perlu kerana rawatan dan perhatian yang sewajarnya telah diberikan kepada Anwar sejak dahulu lagi sama seperti pesakit lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penjara untuk memberi rawatan selepas pembedahan kepada Anwar sehingga sembuh.

Jelas Subramaniam, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) KKM, mereka sentiasa menerima apa jua cadangan dan akan menilai keperluannya.

Katanya, pihak KKM sejak awal lagi telah memberi perhatian penuh sebagai perawat yang bertanggungjawab.

Malah, golongan pakar juga merawat mengikut keperluan perubatan dan segala keputusan mereka adalah mengikut keperluan perubatan yang dibuat atas dasar profesional.

“Kami di kementerian memberi rawatan terbaik kepada semua tanpa melihat latar belakang politik.

“Sejak dahulu kami telah berunding dan memberikan rawatan terbaik untuk Datuk Seri Anwar, dan tanggungjawab itu akan digalas selaras dengan keperluan kesihatan beliau,” kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara meletak batu asas pembinaan Dewan Rekreasi Tertutup Taman Sri Pagoh, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed dan Pengerusi MIC negeri Johor, Datuk M. Asojan.

Terdahulu, keluarga Anwar memohon agar layanan terbaik diberikan kepadanya termasuk tempoh masa yang panjang untuk beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan bahu baru-baru ini.