Tiada cadangan untuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata dengan pelantikan Azhar Azizan@Harun sebagai Pengerusi SPR, isu penubuhan tribunal tidak lagi berbangkit.

Tambahnya, tiada keperluan mewujudkan tribunal selepas tempoh perkhidmatan Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood dan empat anggota SPR lain dipendekkan.

"Berdasarkan perkembangan terkini mengenai peletakan jawatan anggota-anggota SPR, maka isu berhubung penubuhan tribunal adalah tidak berbangkit lagi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya adakah benar Kerajaan akan menubuhkan sebuah tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh SPR terutamanya ketika menguruskan PRU14 yang lalu.

Khoo juga bertanya adakah tribunal itu perlu untuk tujuan pemecatan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 114(3) dan 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Liew berkata, beliau percaya pengerusi SPR yang baharu itu mampu melakukan penambahbaikan ke atas badan itu.

Malah, beliau memberi jaminan, walaupun Azhar seorang aktivis politik, beliau akan dapat melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab supaya isu salah laku lama tidak berulang lagi.

Tambahnya, pelantikan Azhar juga tidak perlu dikhuatiri kerana ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai isu-isu berkaitan PRU14 yang membelenggu SPR seperti isu borang 14, Liew berkata, perkara itu telah dimasukkan dalam petisyen pilihan raya dan mahkamah telah membuat keputusan.