Tiada keperluan bagi pelajar untuk bawa buku teks ke sekolah memandangkan buku teks hanya digunakan sebagai bahan rujukan sahaja.

Sehubungan itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) berpendapat sudah tiba masanya untuk buku teks diletakkan di satu tempat yang dikhaskan di sekolah.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pelajar lebih banyak mengulang kaji dengan nota yang disediakan guru masing-masing dan latihan serta kerja rumah.

"Sebenarnya, ini masalah yang lama dan saya hairan isu ini sehingga kini belum lagi selesai.

"PAGE rasa perkara ini boleh diselesaikan dengan mengkhaskan tempat di sekolah supaya pelajar boleh meletakkan buku teks mereka di sana dan rujuk ketika sesi pembelajaran di sekolah," katanya.

Kenyataan beliau diberikan sebagai respon kepada tindakan Kementerian Pendidikan yang sedang mengkaji kemungkinan murid tidak perlu lagi membawa buku teks ke sekolah rendah.

Masalah itu adalah salah satu dari empat isu utama diterima menerusi cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara yang dibuka sejak minggu lepas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata sehingga kini lebih 11,000 cadangan dan masalah sistem pendidikan diterima melalui perisian google dokumen khas yang dibangunkan.