Malaysia tidak bercadang menyekat aplikasi Telegram seperti yang dilakukan Indonesia susulan dakwaan negara itu media sosial tersebut digunakan untuk tujuan aktiviti keganasan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil penelitian dan siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati, tiada kes salah guna Telegram dikesan untuk kegiatan keganasan melibatkan negara ini.

"Penelitian yang dilakukan KDN, khususnya Unit Keganasan Cawangan Khas di PDRM, mendapati bahawa aplikasi itu setakat ini tidak mengandungi unsur-unsur jenayah, jauh sekali perbuatan bagi merekrut, atau pembiayaan untuk memperolehi dana, bagi keganasan," katanya.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Jakel di Jakel Mall di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun menegaskan, kementeriannya akan terus melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti keganasan, termasuk oleh kumpulan militan Daish.

"Kita tidak akan lepaskan tanggungjawab untuk terus memantau. Dan kita tidak berhasrat mencampuri 'chatting' peribadi di antara pengguna. Kita menghormati hak peribadi," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya mempunyai beberapa kaedah bagi memantau jika terdapat komunikasi yang melibatkan soal keganasan, aktiviti merekrut pengganas, dan pembiayaan dana kumpulan ektremis itu, melalui Telegram.

Malaysia bagaimanapun menghormati tindakan tegas dilakukan Indonesia dalam usaha membanteras aktiviti kumpulan Daish yang didakwa cuba merekrut dan memberi latihan keganasan melalui saluran media sosial.

"Dalam hal ini, biarpun kita menghormati langkah Indonesia, kita tidak berhasrat untuk melakukan tindakan sama di negara kita.

"Kita menghormati hak individu dalam aplikasi lain seperti YouTube, WhatsApp dan lain-lain, tetapi kita mempunyai pendekatan 'decoding' untuk menentukan jika ada unsur-unsur Daish, dan lain-lain kegiatan berkaitan, melalui aplikasi yang berbeza - sama ada media sosial atau komunikasi tanpa talian," katanya.

Ketika ini katanya, KDN telah mengenal pasti tiga aplikasi media sosial yang digunakan untuk aktiviti berunsur keganasan iaitu YouTube, WhatsApp dan Instagram.

"Saya tidak dapat perangkaannya, tetapi tiga aplikasi itu dilakukan pemantauan, dengan tidak mencampuri urusan peribadi," ujarnya.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Rudiantara berkata, kerajaan Indonesia bertindak menyekat Telegram di negara itu setelah aplikasi sosial itu dipercayai menjadi sarang komunikasi puak pengganas dan radikalisme.



Pihaknya mengambil tindakan tegas kerana mendapati media sosial itu terlalu banyak memuatkan komunikasi berunsur negatif.