Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melibatkan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Merujuk kepada laporan media mengenai penahanan tiga pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) berhubung kegiatan mengedar ganja pada Khamis lepas, menurutnya kementerian memandang serius kes tersebut.

KPT berkata universiti yang terlibat juga telah mengambil tindakan menggantung pengajian ketiga-tiga pelajar terbabit sehingga kes siasatan selesai di mahkamah.

"KPT akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes ini," kata KPT.

Pada Khamis lepas, tiga pelajar IPTA ditahan kerana memiliki dadah dalam satu serbuan di sebuah bilik asrama IPTA berkenaan di Serdang.

Dalam serbuan pada 10.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang kesemuanya berusia 22 tahun ditahan selepas polis menemukan lima paket ketulan daun kering mampat dipercayai ganja seberat 1.2 kilogram dianggarkan bernilai RM2,500 dalam bilik berkenaan.

-- BERNAMA