Tiada kompromi kualiti pendidikan pelajar di Program Matrikulasi KPM - Pakar pendidikan

Tiada kompromi kualiti pendidikan pelajar di Program Matrikulasi KPM - Pakar pendidikan
Kualiti pendidikan di KPM perlu terus berada pada landasan yang baik meskipun dengan pertambahan pelajar daripada 40,000 berbanding 25,000 sebelum ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu sentiasa memantau dan memastikan kualiti pendidikan di Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus berada pada landasan yang baik dan selaras dengan keperluan di universiti awal pada peringkat ijazah pertama tanpa sebarang kompromi.

Kemasukan pelajar ke program KPM itu juga perlu dilakukan dengan mengambil kira kualiti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang benar-benar layak.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr Shahabuddin Hashim berkata, kualiti pelajar terbabit juga seharusnya tidak menunjukkan sebarang perbezaan dengan pelajar yang menyertai program asasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Kualiti pendidikan di matrikulasi seharusnya selaras dengan keperluan di universiti awam di peringkat ijazah pertama. Tiada kompromi tentang kualiti kemasukan ke program matrikulasi dan juga seterusnya ijazah pertama.
“Namun sejauh manakah kualiti ini boleh dipertahankan? Ia perlu diselidik dengan lebih mendalam. Adakah juga bermaksud kemasukan program asasi akan dikurangkan?” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman yang dibuat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung pertambahan bilangan pelajar ke KPM kepada 40,000 berbandingan 25,000 sebelum ini.

Menurut Maszlee, keputusan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Shahabuddin turut menyentuh soal kepakaran tenaga pengajar yang perlu disediakan selaras dengan pertambahan 15,000 pelajar.

Beliau mencadangkan agar guru-guru yang berkelulusan Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah diberi peluang untuk mengisi kekosongan tersebut

“Apabila guru-guru yang mempunyai kepakaran yang tertentu dengan ijazah dan kedoktoran berada di matrikulasi, ruang yang mereka tinggalkan perlu akan dipenuhi oleh guru-guru baharu yang memang sedia ada dalam pasaran sekarang,” katanya.

Shahbuddin pada masa sama turut mencadangkan agar ditambah jurusan baharu di KPM iaitu sains sukan selain mewujudkan KPM yang fokus kepada aliran agama.

Ia secara tidak langsung menjadi jambatan di antara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Rakyat atau sekolah swasta serta tahfiz yang menduduki SPM dengan kelulusan yang tertentu untuk memasuki KPM dan seterusnya melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Tag: Sijil Pelajaran Malaysia, SPM, pendidikan, Kementerian Pendidikan, Sains, matrikulasi, kuota, Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia, ijazah pertama, Maszlee Malik, Menteri Pendidikan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.