Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak menetapkan sebarang kuota bagi calon daripada kumpulan keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dalam proses pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pelbagai usaha dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan calon daripada keluarga B40 mendapatkan pendidikan dan latihan berkualiti di MRSM termasuk menaikkan markah pemberat dalam pengiraan merit berdasarkan status sosioekonomi bagi pelajar daripada kumpulan itu.

"Syarat kemasukan ke MRSM juga dilonggarkan untuk pelajar di Semenanjung iaitu 3A, 3B manakala pelajar di Sabah dan Sarawak ialah 3A, 2B dan 1C dengan mendapat A bagi subjek Sains atau Matematik," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau berkata program'jangkau luar' turut dilaksanakan sebelum keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah 2017 diumumkan bagi mengenal pasti calon dari kumpulan B40 yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM.

Dalam pada itu, Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff ketika mencelah penggulungan oleh timbalan menteri itu mencadangkan kuota pelajar cemerlang daripada kumpulan B40 memasuki MRSM dan sekolah berasrama penuh disasarkan sehingga 75 peratus.

Beliau juga menyarankan untuk diwujudkan kuota khusus untuk golongan B40 mengisi jawatan kosong dalam sektor awam bagi membantu golongan itu dalam jangka masa panjang.

Persidangan Dewan Negara bersambung Rabu.

-- BERNAMA