"Kami tidak sekali-kali ingin kembali kepada era diplomasi konfrontasi dan gemar melaungkan kata-kata retorik antara kedua-dua negara," demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila merujuk kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura.

"Kami mahu melupakan era itu dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada era tersebut.

"Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia dan kami sentiasa berpegang kepada dasar kami, agenda kami dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura," kata beliau pada sidang media bersama bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelapan di Istana di sini, hari ini.

Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong ditanya sama ada kerajaan kedua-dua negara boleh memberi jaminan bahawa Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan tetap diteruskan sekiranya berlaku perubahan dalam persekitaran politik berikutan pilihan raya umum yang akan diadakan di Malaysia.

Dalam respons beliau, Lee berkata semua projek yang melibatkan lebih daripada sebuah negara dan memakan masa lebih daripada satu penggal pemerintahan "memerlukan komitmen jangka panjang".

BACA: Pemukiman bermula pertemuan antara Najib dan Hsien Loong

BACA: Malaysia-Singapura meterai perjanjian RTS


"Komitmen itu diberi secara formal, manakala perjanjian yang ditandatangani antara dua kerajaan hari ini merupakan suatu ikatan perjanjian yang terus terpakai, dan tidak kiralah siapa jua yang menjadi kerajaan di sebelah sana, perjanjian ini perlu mereka warisi dan menjadi pihak kepadanya.

"(Bagaimanapun) bagi pihak Singapura, saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang hasrat kami untuk melaksanakan apa yang telah kami tandatangani dan beri komitmen hari ini," katanya.

Malaysia dan Singapura menandatangani dua perjanjian dua hala berkaitan projek RTS dan HSR, yang masing-masing dijangka siap pada 2024 dan 2026.

-- BERNAMA