Kabinet memutuskan untuk tidak lagi membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mengeluarkan kad UNHCR kepada individu yang memohon secara 'walk-in', berkuatkuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata keputusan itu dibuat berikutan kertas kabinet yang dibawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Langkah itu bagi mengelak lambakan kad UNHCR di negara ini yang boleh mendatangkan masalah keselamatan negara dan masalah sosial.

"Saya sudah jumpa mereka (UNHCR Malaysia) banyak kali supaya menghentikan pengeluarkan kad UNHCR secara 'walk in'.

"Ini adalah Malaysia. Bagaimana kad UNHCR boleh dikeluarkan tanpa pengetahuan Jabatan Imigresen dan polis yang akan menentukan status pemohon," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2016 di sini hari ini.

Shahidan berkata pihaknya akan memaklumkan kepada UNHCR di Malaysia mengenai keputusan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, kad UNHCR hanya boleh dikeluarkan kepada individu yang berada di depo tahanan atau setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Lambakan kad UNHCR berlaku di negara ini. Kita mendapati ada yang melakukan jenayah dan melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan kad UNHCR.

"Selain itu, mereka yang bukan pelarian politik dan tidak dizalimi di negara asal juga diberikan kad UNHCR. Rohingya yang dizalimi dan dibunuh, orang lain yang mendapat kad UNHCR.

"Kita juga mendapati pemegang kad UNHCR dari Indonesia, Filipina dan Thailand juga lari ke negara ini," katanya.

Menurut Shahidan, kabinet pada minggu lepas telah mengarahkan supaya satu Jawatankuasa Peringkat Tinggi ditubuhkan untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Mengenai dakwaan kad UNHCR dijual di Jalan Chow Kit, Shahidan meminta pihak yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada pihaknya agar tindakan tegas dapat diambil.

"Kita tidak main-main. Kita akan tangkap mereka yang mengeluarkan kad UNHCR yang palsu," katanya.

Dilaporkan sebelum ini kira-kira 154,140 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, sehingga akhir April lalu.

Daripada jumlah itu, wakil UNHCR di Malaysia Richard Towie berkata 139,780 pelarian dan pemohon suaka adalah dari Myanmar manakala yang lain dari Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq, Iran, dan Palestin .