Tiada lagi kediaman atau premis dibenarkan dibina di tepi sungai untuk mengelak pencemaran selain tragedi binaan dihanyutkan air deras selepas hujan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, kerajaan juga sudah menetapkan panduan jarak 50 meter sebagai rezab sungai sebelum sesuatu pembangunan dibuat di kawasan berkenaan.

"Kalau hendak bina rumah di tepi sungai kena ikut syarat tertentu yang akan ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta rakan-rakan kita di agensi lain.

"Sebab itu saya tidak berapa setuju rumah di tepi sungai, tetapi kalau hendak juga, kita akan adakan syarat-syarat tertentu," katanya semasa sidang media khas menjelang satu tahun di kementerian itu di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan tiada tindakan diambil bagi menyelamat dan memulihkan sungai tercemar.

Memetik kenyataan Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin di laporan itu sebagai berkata, ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim, Johor, pada bila-bila masa, seterusnya mengganggu sumber air negara.

Dalam pada itu, kata Dr Xavier, berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017, sebanyak 32 sungai telah diklasifikasikan sebagai tercemar daripada 417 sungai dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara.

"Kita melalui JPS telah melaksanakan pendekatan berbentuk struktur seperti membina infrastruktur rawatan kualiti air sungai dan memasang perangkap sampah di beberapa lokasi sungai utama.

"Di samping itu, pendekatan bukan berbentuk struktur juga telah dilaksanakan melalui pendekatan strategi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu bagi mencapai empat okjektif utama.

"Ia adalah memastikan air mencukupi, memastikan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar," jelasnya.