Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan tiada lagi kuota haji khas buat menteri dan Ahli Parlimen bagi memastikan ketelusan, di samping menegaskan, kuota itu adalah milik rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, akibat kuota khas yang diamalkan kerajaan terdahulu, ramai jemaah yang layak, khususnya dalam kalangan warga emas, tidak dapat menunaikan haji.

Katanya, Malaysia mempunyai kuota haji sebanyak 30,200 dan apabila sebahagian besarnya diambil oleh menteri dan Ahli Parlimen, maka kuota bagi rakyat yang layak akan berkurangan.


Tambahnya, perbuatan menjaga kedudukan politik menteri dan Ahli Parlimen itu menyebabkan jemaah yang layak dan mempunyai kewangan yang cukup untuk pergi ke Tanah Suci perlu menunggu sehingga 100 tahun.

“Akhirnya, tinggal sedikit sahaja daripada peruntukan keseluruhan, dan itulah yang hendak diagihkan kepada jemaah... Sebab itulah, orang dah tua tak dapat pergi haji,” kata Fuziah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog bersama Kawasan Rukun Tetangga Parlimen Kuantan di sebuah hotel, di sini pada Jumaat.

Fuziah berkata, dengan tindakan yang dilaksanakan ini, jemaah yang pergi menunaikan haji pada tahun ini merupakan mereka yang sememangnya layak.

Kuota haji kini telah menjadi sepenuhnya milik rakyat, tambahnya.

"Apabila kami menteri yang menjaga haji, kami buat keputusan tak ada kuota lagi untuk orang politik, tak ada lagi kuota untuk Ahli Parlimen, tak ada lagi kuota untuk menteri. Jadi, maka dengan itu, semua untuk rakyat,” katanya.