Bermula Rabu, tiada lagi sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan pelan tindakan baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada Rabu.

Menurutnya, PDRM akan menumpukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis perniagaan dan kawasan awam termasuk pusat beli belah dan pasar malam menerusi Pasukan Petugas Khas Pemantauan Pemantauan PKPP yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Hari ini hari terakhir PKPB dan PDRM akan mengenakan pelan tindakan baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok sehingga 31 Ogos.

"PDRM akan menarik semua sekatan jalan rentas sempadan negera bermula 10 Jun 2020, dan ini bermakna, hari ini hari terakhir kerana bermula besok tidak ada keperluan kebenaran rentas negeri," katanya pada sidang media di Putrajaya, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah kenderaan yang PDRM terus menunjukkan penurunan kepada 188,804 kenderaan pada Isnin, berbanding 194,450 pada hari sebelumnya.

Katanya, PDRM turut menahan reman 94 individu atas kesalahan ingkar PKPB.

"Selain itu, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 77 individu termasuk tujuh daripada kompaun itu dikeluarkan di sekatan jalan raya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Selasa.

"Pemeriksaan tersebut dibuat dalam 134 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara," katanya lagi.

Dalam pada itu,, Ismail berkata Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 73,206 pemeriksaan pada Isnin bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 7,817 operasi sanitasi merangkumi 132 zon setakat Isnin.

“Semalam (Isnin) sebanyak 37 operasi sanitasi dilakukan di 28 zon membabitkan 10 negeri antaranya Sabah (12 operasi), Sarawak (lapan operasi) dan Johor (enam operasi)," katanya.