Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung cubaan untuk menggodam mana-mana laman sesawang milik kerajaan setakat ini, kata Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata setakat ini pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menerima sebarang laporan dan akan terus memantau jika berlaku sebarang aktiviti yang mencurigakan.

"Belum ada laporan tapi kita (SKMM) bersedia sekiranya terdapat mana-mana agensi atau kementerian yang memerlukan bantuan dari segi teknikal untuk bantu mereka hadapi cubaan godam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia IT Fair di sini, hari ini.

Beliau berkata SKMM menyeru mana-mana organisasi atau kementerian supaya berhati-hati dan memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan melibatkan laman sesawang rasmi mana-mana kementerian.

Dalam pada itu Jailani berkata SKMM akan sentiasa memantau semua laman sesawang yang cuba mempromosi atau mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih 4 yang sedang berlangsung bermula hari ini hingga esok.

Semalam SKMM menyekat empat laman sesawang yang menyebar maklumat program perhimpunan itu.