RAWANG: Polis mengesahkan tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu dakwaan kehilangan barang kes yang merupakan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) sewaktu kes dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang ditularkan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini mangsa atau pemilik wang berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid, tidak membuat sebarang laporan polis.

“Pihak polis masih sehingga kini tidak menerima apa-apa laporan berkenaan perkara yang diviralkan. Maka buat masa ini pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar perkara yang belum tentu lagi jangan diviralkan dan jika ia melibatkan jabatan lain, mohon merujuk kepada jabatan berkenaan.

“Kita akan mendapatkan juga maklumat daripada yang dikatakan blog ‘Edisi Siasat’ ini, kita akan dapatkan,“ katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Barang Kes SPRM | Tiada laporan polis, wang tunai lebih AS$6 juta


Menurut beliau lagi, dakwaan berlaku kecurian wang barang kes tersebut timbul setelah dimuat naik di sebuah blog yang menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ dan pihak polis sedang berusaha mengesan pengendali dan pemilik laman blog terbabit.

Semalam SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

SPRM berkata ketiga-tiga pegawainya ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September.