Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menegaskan bahawa pihaknya tidak melarang aktiviti penyembelihan bagi ibadah korban di dalam masjid dan surau di negeri itu.

Kenyataan itu disahkan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Thosrin Jarvanthi, setelah tular isu penyembelihan ibadah korban yang dikatakan tidak boleh dilakukan di dalam kawasan masjid atau surau.

Walau bagaimanapun, Tosrin memberitahu, masjid atau surau yang tidak mempunyai tempat penyembelihan khas atau tempat alternatif perlu mematuhi syarat ditetapkan termasuk mendapat kebenaran pejabat kadi daerah.

“Saya berharap dengan penjelasan ini tiada lagi sentimen politik cuba digunakan (untuk) menggugat kerajaan yang ada sekarang. Kita ambil (perhatian terhadap) semua aspek.. bukan bermaksud kita nak menetapkan tidak boleh sembelih kerbau dan lembu di kawasan masjid.

“Kita guna garis panduan pekeliling ini bagi menentukan ibadah itu. Kita teruskan ikut turun temurun, cuma dari segi peliharaan kawasan dan syarat tertentu (perlu) diguna pakai oleh pengerusi, persatuan masjid dan pegawai-pegawai masjid,” ujar beliau.

Sebelum ini kecoh di media sosial apabila tular draf pekeliling yang melarang pelaksanaan ibadah korban dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini.

Dalam pada itu, katanya bagi mana-mana masjid dan surau yang tidak mempunyai tempat penyembelihan khas perlu mematuhi empat syarat ditetapkan dalam pekeliling tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban di negeri Johor.

Antaranya, ibadah korban hanya boleh dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa (AJK) dan pegawai masjid atau surau berkenaan pada tempoh Hari Raya Aidiladha dan tiga hari Tasyrik sahaja.

Pada sidang media sama, Thosrin mengesyorkan setiap masjid dan surau di Johor memiliki kemudahan tempat penyembelihan khas bagi memudahkan urusan ibadah korban dijalankan setiap tahun.

Beliau turut menegaskan pekeliling yang membenarkan proses penyembelihan di masjid dan surau itu hanya terpakai untuk pelaksanaan ibadah korban sahaja.

Pekeliling itu hanya sah untuk ibadah korban setiap tahun dan bukan majlis-majlis lain.

Terdapat 2,783 buah masjid dan 1,950 buah surau di negeri ini dan dianggarkan 6,115 ekor lembu akan disembelih bagi ibadah korban sepanjang tahun.