Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan pegawai beliau meminta komisyen 30 peratus bagi tender kementerian.

Dalam catatan terbaharu di laman Instagram beliau, Syed Saddiq berkata, kenyataan itu dibuat bagi menyanggah laporan dua akhbar berbahasa Cina yang bertajuk “Assistant kepada MP Muar minta komisyen 30 peratus” yang disiarkan baru-baru ini.

“Selepas mereka (dua akhbar berbahasa Cina berkenaan) buat semakan, individu tersebut tidak kena mengena dengan pejabat saya. Lain kali saya nasihati, semak dulu dengan saya.

“Walaupun mereka tak namakan saya, tetapi Parlimen Muar & saya sudah sebati. Be fair in reporting. I am very active on my Press Whatsapp group chat and i include all the journalists in. Boleh tanya sebelum terbitkan berita yang tidak sahih,” katanya lagi.



Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau juga telah meminta pegawai parlimennya untuk membuat laporan polis bagi menyiasat individu berkenaan.

“Saya masuk politik untuk bersihkan politik. Saya tidak akan lupakan prinsip ini,” tegasnya lagi.