Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ni merumuskan tiada pembaziran dan penyelewengan berlaku dalam pengurusan syarikat-syarikat di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pengerusinya Datuk Seri Hasan Arifin berkata PAC turut berpuas hati dengan setiap penjelasan yang diberikan oleh syarikat-syarikat itu dalam prosiding isu pengurusan RISDA pada 16 Jun 2015.

Beliau berkata isu berkenaan dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April 2015 dan Siri 2 pada 15 Jun tahun sama.

Syarikat-syarikat RISDA yang terbabit dalam prosiding PAC adalah Syarikat ESPEK Sdn Bhd, ESPEK Plantation Sdn Bhd, ESPEK Livestock Sdn Bhd, RISDA Bina Sdn Bhd dan Kolej RISDA, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya isu-isu yang dibangkitkan adalah tentang penurunan prestasi pengurusan ladang dan kelapa sawit, kadar perahan minyak (OER) yang tidak tercapai, masalah kekurangan jentera dan tenaga kerja di ladang-ladang RISDA dan Kolej RISDA.

Bagi tujuan penambahbaikan, katanya, PAC mengesyorkan RISDA supaya memastikan anak syarikat dan subsidiarinya lebih tersusun serta berdaya saing dan tidak bergantung kepada syarikat induk serta meneroka pasaran luar.

"Selain itu, anak-anak syarikat RISDA disyorkan untuk melupuskan perniagaan yang tidak mendatangkan pulangan dan keuntungan kepada syarikat," katanya.

Berkenaan Kolej RISDA, Hasan berkata kolej itu perlu memantapkan program pengajian yang ditawarkan bagi mengurangkan peratusan pelajar yang berhenti dan gagal meneruskan pengajian agar objektif penubuhan kolej itu dapat dicapai.

Laporan PAC berhubung Pengurusan Syarikat RISDA itu dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA