Tiada peningkatan kes penderaan domestik atau keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya statistik menunjukkan penurunan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Meskipun ramai yang meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan kes meningkat namun berdasarkan data yang kita terima, angka tersebut tidak menunjukkan sebarang penambahan," katanya.

Beliau yang dihubungi Astro AWANI, berkata sebelum ini PDRM merekodkan sebanyak 353 kes keganasan rumah tangga dalam tempoh 29 hari PKP dilaksanakan.

Abdul Hamid berkata, sebenarnya jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 55 kes berbanding tempoh sama sebelum pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Portal berita Perancis, Euronews baru-baru ini melaporkan, negara itu menyaksikan peningkatan kira-kira 30 peratus kes keganasan rumah tangga sejak perintah berkurung dilaksanakan akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan itu, Paris sahaja merekodkan peningkatan kes keganasan domestik sebanyak 36 peratus.

Situasi itu menyebabkan kerajaan terpaksa membiayai kos mangsa untuk tinggal di hotel selain menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka.