KUALA LUMPUR :Hampir memasuki 2021, masih ramai rakyat Malaysia dikesan melakukan kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka walaupun menyedari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 301 kesalahan ingkar arahan PKPP pada Rabu, 149 daripadanya adalah kesalahan tiada penjarakan fizikal dan 77 tidak memakai pelitup muka.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, dalam operasi semalam, seramai 298 individu telah dikenakan kompaun manakala tiga lagi direman.

Dalam pada itu, Operasi Benteng telah berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas enam buah kenderaan darat dalam 107 sekatan jalan raya.

Tambahnya, kerajaan juga melaksanakan sebanyak 36 operasi sanitasi meliputi 14 Zon Merah, empat Zon Jingga, tujuh Zon Kuning dan dua Zon Hijau yang melibatkan sembilan negeri dan dua Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 30 Disember 2020, seramai 94,967 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 74 hotel dan 17 institut latihan awam (ILA).

Katanya lagi, pemeriksaan di 12 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam mendapati semuanya mematuhi SOP yang telah ditetapkan.