Tiada jalan yang akan ditutup semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat yang bakal diadakan Sabtu ini.

Kenyataan ini telah disahkan oleh Ketua Penolong Ketua Polis Negara (KPN) Urusetia (Perhubungan Awam) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf pada taklimat media hari ini.

“Setakat ini, tiada apa-apa arahan yang dikeluarkan untuk menutup jalan pada hari perhimpunan tersebut,” kata beliau.

Kenyataan ini turut disahkan menerusi laman Twitter Polis Diraja Malaysia, @PDRMsia dan orang ramai akan dimaklumkan jika terdapat sebarang perubahan.
Tuit dari PDRM

Semasa sidang taklimat yang sama, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, SAC Datuk Abdul Hamid Mohd Ali menjawab soalan berkenaan tag polis yang wajib dipakai oleh kakitangan media semasa perhimpunan tersebut.

“Pas media yang diperkenalkan ini adalah baru dan sebagai kajian. Ini merupakan cara untuk mengenalpasti pengamal media yang membuat liputan tentang perhimpunan ini. Jika ia berfungsi, kami akan terus menggunakan kaedah ini untuk kejadian yang melibatkan bencana alam, perhimpunan atau operasi utama melibatkan pasukan polis dan kakitangan media yang ramai,” tambah Hamid.

Hamid turut berkata 50 petugas marshal akan ditempatkan di Tun H.S. Lee untuk membantu wartawan dan jurukamera jika mereka memerlukan bantuan terutama untuk bergerak sekitar kawasan perhimpunan.

Apabila ditanya sama ada perkara ini akan menyekat pergerakan media, Hamid berkata ini dilakukan demi keselamatan semua pihak.

“Pihak media boleh kemana-mana sahaja. Bagaimanapun, mereka boleh meminta bantuan daripada petugas marshal yang ada. Jika terdapat kawasan yang tidak selamat, kami tidak akan membawa pihak media ke tempat tersebut. Keselamatan merupakan perkara paling penting dalam operasi ini,” jelas beliau.

Selasa lalu, pihak polis menggesa wartawan yang akan membuat liputan tentang perhimpunan pada Sabtu ini untuk memakai tag khas yang dikeluarkan oleh pihak polis dimana perkara ini telah menimbulkan keraguan beberapa pihak mengenai kebebasan akhbar.