Usaha segelintir individu untuk menghimpunkan penyokong kegiatan berbasikal lewat malam di Dataran Bandaraya di sini hari ini nyata gagal apabila lokasi itu lengang.

Tinjauan Bernama mendapati hanya beberapa kenderaan peronda polis berada di situ manakala kelibat mereka yang berkenaan pula langsung tidak kelihatan.

Selepas ajakan berhimpun secara haram itu tular menerusi media sosial, polis mengeluarkan amaran keras akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat sama ada dalam penganjuran mahupun menyertainya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh dalam kenyataannya sebelum ini, berkata pihaknya telah menahan dua individu berhubung perhimpunan itu termasuk seorang yang menghina polis susulan nahas membabitkan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini minggu lepas.

Katanya perhimpunan yang bertujuan menyokong kumpulan berbasikal tersebut secara tidak langsung membantah tindakan penguatkuasan polis terhadap mereka.

Sulaiman berkata perhimpunan seumpama itu adalah haram dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap mereka yang terlibat.

Katanya sesiapa yang terlibat dalam perarakan atau berarak dengan membawa sepanduk secara langsung dengan protes jalanan juga boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kenyataan menghasut orang ramai untuk membenci Polis Diraja Malaysia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Mereka yang terlibat boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Pada awal pagi 18 Feb lepas, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini.

-- BERNAMA