Kerajaan tiada rancangan untuk mengadakan proses persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Ini kerana, jelasnya, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan proses persempadanan semula hanya boleh dilakukan sekali bagi setiap tempoh lapan tahun.

Untuk meminda Perkara 133 di dalam Perlembagaan ini, menurut menteri yang bertanggungjawab hal ehwal undang-undang itu, kerajaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kajian semula persempadanan semula boleh dimulakan dengan dua kaedah.

"Pertama, apabila berlaku pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Dan kedua, apabila tamat lat tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun dari tarikh siap kajian persempadanan semula sebelumnya," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.



Disebabkan berdepan dengan dua kekangan ini, beliau mengesahkan dalam jawapannya kepada Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur), kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Wong membangkitkan mengenai dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikatakan sengaja mengatur persempadanan semula supaya kemenanganan berpihak kepada mereka.

"Sekiranya kajian semula persempadanan hendak dilaksanakan sebelum PRU15 akan datang, yang dijangka selewat-lewatnya pada tahun 2023, kerajaan perlu meminda peruntukan undang-undang di bawah Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan berkaitan lat tempoh minimum satu kajian semula persempadanan semula, atau meminda Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua-dua pindaan undang-undang itu, kalau hendak dibuat, memerlukan persetujuan dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.

"Oleh itu, kerajaan perlu teliti opsyen terbaik berhubung perkara ini," kata Mohamed Hanipa.

Dalam soalannya, Wong meminta Perdana Menteri menyatakan sekiranya ada cadangan untuk merombak semula sistem pilihan raya sedia ada dan melaksanakan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya.

BN sebelum ini dituduh memanipulasi angka, daerah mengundi dan melakar peta kawasan menerusi proses persempadanan semula yang diadakan.