Bilangan pusat kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara masih sama dan tiada pertambahan buat masa ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk penambahan kerana pusat sedia ada masih mempunyai kekosongan untuk proses kuarantin wajib.

"Jangan ada pihak yang keliru dan bimbang dengan perkara itu kerana kekosongan berlaku apabila orang yang dikuarantin keluar selepas selesai menjalani proses itu.

"Setakat hari ini, sebanyak 245 pusat kuarantin telah beroperasi sama seperti hari sebelumnya dengan 16,820 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib," katanya dalam sidang media harian pada Jumaat.

Jelas Ismail Sabri, seramai 815 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib semalam.

"Secara keseluruhan, seramai 30,315 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu .

"Sejak 17 April, seramai 19,873 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.