Tiada sebarang projek pembinaan Program Perumahan Rakyat termiskin (PPRT) yang terbengkalai di Sabah, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kementeriannya menerusi jawatankuasa bersama dengan kerajaan negeri sentiasa memastikan segala projek perumahan diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan demi manfaat rakyat.

"Pembinaan PRRT di Sabah, tidak ada yang terbengkalai kerana kita menjalankan pemantauan rapi kepada setiap projek pembinaan agar dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

"Malah, kerjasama menerusi jawatankuasa bersama, tiada sebab bagi kerajaan negeri tidak mengetahui mengenai pembinaan projek yang bermasalah atau terbengkalai kerana setiap projek yang dilaksanakan telah dibincangkan bersama serta pemantauan juga dibuat secara berterusan," katanya.
Ismail Sabri bertemu para penerima rumah PPRT di Kampung Muhibah, Putatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT kepada tiga buah keluarga penerima di Kampung Muhibbah, Putatan, hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima Tinah @ Juriah Harsad, 39 tahun, menyifatkan bantuan berkenaan memberi makna cukup besar buat keluarganya kerana sebelum ini mereka terpaksa tinggal di dewan masyarakat kampung berkenaan selama setahun selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada tahun lalu.
Ismail Sabri meninjau projek PPRT di Sabah.
"Saya amat berterima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan PPRT ini. Saya sayu melihat kedua orang tua serta anak-anak sebelum ini terpaksa tinggal di dewan berkenaan dan pemberian rumah ini akan memberi sinar baru bagi kami sekeluarga," katanya.

Menurut salah seorang lagi penerima Harsad Said, 78 tahun, bantuan itu amat bermakna buat keluarganya dan berharap ia dapat diteruskan di masa akan datang.

Untuk rekod, semenjak tahun 2014 sehingga tahun 2017, seramai 43,080 penerima telah menerima manfaat daripada projek PPRT di Sabah melibatkan projek sebanyak 12,552 unit rumah dengan kos sebanyak RM321.5 juta.