Tiada rakyat Malaysia yang terlibat di dalam insiden serangan di Resorts World Manila di mana seorang lelaki menyerbu dan melepaskan tembakan dan membakar bangunan itu.

Dalam mengesahkan perkara ini, Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia di Manila sedang memantau insiden itu dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia di negara itu agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan pihak kedutaan boleh menghubungi Kedutaan itu di:

Salcedo Village, Makati City
Republic of the Philippines
Tel.: 00 (632) 662 8200 / 00 (63) 917 864 0761 (after working hours)
Fax: 00 (632) 662 8202
Emel: [email protected]


Sekurang-kurangnya 36 mayat ditemui di sebuah kasino di Manila, Filipina selepas seorang suspek lelaki menyerbu dan melepaskan tembakan malam tadi.

Suspek dikatakan merupakan seorang warga asing berketurunan Caucasian berketinggian 6 kaki dan berbahasa Inggeris.