Tiada rekod polis yang menunjukkan demonstrasi yang diadakan di dalam negara sejak tahun 1998 menuntut secara khusus perletakan jawatan seorang Perdana Menteri, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi jawapan kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang meminta KDN menyatakan jumlah peserta dan kerahan pegawai bertugas serta lokasi berkumpul setiap demonstrasi yang menuntut Perdana Menteri meletak jawatan sejak tahun 1998.

Sejak tahun 1998, beberapa demonstrasi jalanan telah diadakan di Malaysia sebagai tanda protes kepada beberapa isu.

Antara isu-isu yang dibangkitkan dalam demonstrasi berkenaan termasuk pembersihan senarai daftar pengundi pilihan raya, protes terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan harga minyak serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).