KOTA BHARU: Tiada rekod salah laku penyelewengan rasuah membabitkan imam, bilal, petugas serta kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) setakat ini, kata Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata MAIK sentiasa menekankan ketelusan membabitkan sebarang aktiviti yang dilakukan bagi mengelakkan ketirisan dalam pengurusan kewangan institusi berkenaan.

"Kita cuba terapkan dengan lebih jelas lagi kepada kakitangan mengenai gejala rasuah ini termasuk imam, bilal dan sebagainya bagi memberi keyakinan kepada jemaah-jemaah di masjid.

"Perkara ini (gejala rasuah) juga kita ada menyebut di dalam khutbah Jumaat untuk mengingati semua. Alhamdulillah, setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan membabitkan pegawai masjid dan sebagainya terlibat dengan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan Pegawai Masjid Mukim Tahun 2022 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Rosli Husain.

Mengulas lanjut mengenai Ikrar Bebas Rasuah itu, Tengku Mohamad Rizam berkata ia menjadi sebahagian komitmen MAIK dalam menyokong dan mendukung prinsip amanah dan integriti dalam perkhidmatan.

"Menerusi siri pertama yang diadakan hari ini, seramai 600 kakitangan dan pegawai masjid di bawah seliaan MAIK telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah yang menjadi sebahagian komitmen MAIK dalam menyokong dan mendokong prinsip amanah dan integriti dalam perkhidmatan.

"Ikrar Bebas Rasuah ini akan membabitkan tiga siri pelaksanaan secara berperingkat dengan membabitkan hampir 1,800 kakitangan MAIK sekali gus sebagai satu daripada usaha serius MAIK membanteras gejala rasuah," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan dengan mengadakan kursus pengurusan kewangan masjid kepada semua pegawai masjid dan jawatankuasa masjid mukim di Kelantan.

-- BERNAMA