Sambutan Deepavali peringkat negeri Johor tidak akan diadakan bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri R. Vidyananthan berkata kerajaan negeri serta masyarakat umumnya masih berdukacita dengan kejadian menyayat hati itu dan mahu sama-sama memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan waris dalam kebakaran itu.

Beliau berkata kejadian itu, yang meragut enam nyawa pesakit kritikal di ICU, masih segar di minda masyarakat dan berharap orang ramai dapat bersama-sama memberi penghormatan.

"Kami mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sambutan Deepavali peringkat negeri pada tahun ini berikutan peristiwa menyedihkan yang berlaku di HSA. Kita mahu menghormati mangsa dan perasaan keluarga mangsa," kata Vidyananthan ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, MIC mengumumkan pembatalan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti itu Sabtu ini bagi menghormati mangsa dan waris mangsa berikutan insiden kebakaran di ICU, HSA itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Vidyananthan berkata kerajaan negeri membiayai urusan penghantaran pulang jenazah mangsa yang terkorban dalam kebakaran pada Selasa, untuk urusan pengkebumian dan keagamaan di kampung halaman masing-masing.

Pada kejadian kira-kira 9 pagi itu, enam pesakit kritikal di ICU terkorban manakala seorang pesakit berjaya diselamatkan. Tiga kakitangan HSA cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Mereka yang terkorban ialah K. Logeswaran, 20,; Choo Lin Fung, 37, Toh Ah Wah, 60, Yusof Hassan, 53, M. Kaliama, 23, dan C. Neeramala Devi 24.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan memberikan sumbangan RM2,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, RM5,000 yang cedera parah dan RM3,000 untuk mangsa yang cedera dalam tragedi itu.-- BERNAMA