Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menafikan dakwaan perletakan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau sebaliknya memberitahu Pandikar dijadual mempengerusikan sidang parlimen pada jam 10 pagi pada Isnin ini.

“Tidak pernah dan tiada indikasi bahawa beliau hendak meletak jawatan. Saya telah menerima sesi parlimen minggu depan, jam 10 pagi beliau akan mempengerusikan dan menerima minggu lalu. Ini satu spekulasi dan biar Tan Sri membuat kenyatan itu dan beliau kini berada di Kota Belud Sabah,” jelas Ronald.

Ujar Ronald, berita peletakan jawatan Pandikar telah diulangi sejak sesi palimen yang lepas berakhir pada 9 April.

BACA: Sumber dalaman nafi dakwaan Pandikar letak jawatan

Pandikar juga dijangka menjadi saksi bagi majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Ismail pada Isnin.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim turut menafikan perkara itu.

Shahidan berkara beliau akan dimaklumkan tentang peletakkan jawatan itu sekiranya Pandikar berbuat demikian.

Shahidan juga berkata setiausaha Parlimen berkata tiada surat peletakkan jawatan yang telah dihantar kepadanya.

Pada Sabtu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mendedahkan Pandikar telah melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dr Mahathir mendakwa Pandikar telah datang berjumpanya dan berkata tidak mahu meneruskan kerjanya lagi.