Tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kerajaan Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun katanya, proses lantikan barisan exco itu akan diteruskan selepas penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini ditarik balik.

"Perancangan lantikan barisan exco ditangguhkan selepas lima hari saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-13 pada 13 Mac yang lepas," katanya dalam Perutusan Khas Menteri Besar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Faizal turut menempelak dakwaan pihak tertentu bahawa Perak tidak mempunyai kerajaan dengan menegaskan kerajaan negeri telah berfungsi selaras pelantikannya sebagai Menteri Besar ke-13.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata beliau sebagai Menteri Besar dapat mengemudi operasi pentadbiran dengan lancar hasil kerjasama erat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran.

"Kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri Perak juga masih dilaksanakan oleh ketua jabatan masing-masing dan urusan seharian tertumpu kepada perihal perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan bantuan," katanya.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar ke-13 selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lantikannya itu berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Pada 10 Mac lepas, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-12 setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, tumbang.

Komposisi terkini DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi terdiri daripada Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO (25); DAP (16); Amanah (5); Bersatu (4); PKR (3), PAS (3) dan Bebas (3).

-- BERNAMA