Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap perhimpunan membantah kewujudan gereja di kawasan Taman Medan di Metro Square Taman Medan, Petaling Jaya 20 April lalu.

Memetik jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata keputusan itu dibuat selepas pihak polis menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan berkait Petaling Jaya Repot 5415/2015 di bawah Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba melakukan pencerobohan bangunan.

"Dalam kejadian tersebut terdapat lebih 40 orang telah hadir dan berkumpul di kawasan tersebut," memetik jawapan bertulis KDN yang diedarkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu tersebut dikemukakan Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status siasatan ke atas kes tersebut.

Selain itu, Khalid turut meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status insiden protes di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini pada 12 Julai lalu.

Menurut KDN, polis telah membuka tiga kertas siasatan terhadap kes pergaduhan tersebut.

Memetik jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata seorang individu telah ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Berkait TH repot 23346/15 dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, seorang individu telah ditangkap dan telah dituduh di mahkamah dan ditetapkan untuk perbicaraan pada 30 November sehingga 1 Disember 2015.

"Berkait TH repot 23377/15 dan disiasat di bawah Seksyn 147/427 Kanun Keseksaan, seramai 5 orang individu telah ditangkap dan masih dalam siasatan.

Selain itu, empat orang telah ditangkap dan telah dituduh di mahkamah pada 10 Ogos 2015 di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tiga daripada individu tersebut telah didenta RM1,800 setiap seorang dan seorang lagi tertuduh telah dibebaskan.