Pola pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang menunjukkan peralihan undi kepada Pakatan Rakyat bukan berpunca akibat polarisasi kaum atau apa yang diistilahkan sebagai "tsunami kaum Cina".

Penganalisis politik, Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, analisis yang mengaitkan peralihan undi itu kepada isu perkauman adalah analisis yang terlalu simplistik dan boleh mengelirukan selain boleh mencetuskan "ketegangan dalam ketenteraman" dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Institut Kajian Etnik UKM itu sebaliknya berpendapat ada faktor lain juga yang mempengaruhi pola pengundian dalam PRU-13 ini iaitu perbezaan kelas ekonomi, pengundi bandar dan luar bandar serta umur pengundi.

"Ada unsur kelas, ada unsur ruang iaitu bandar dan luar bandar, dan ada juga unsur umur. Itu belum lagi unsur gender dan sebagainya," kata Shamsul Amri dalam program Malaysia Memilih di Astro AWANI, malam tadi.

Shamsul Amri diwawancara oleh Kamarul Bahrin Haron dan Nazri Kahar bersama penganalisis politik Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Mengambil kerusi Gelang Patah sebagai contoh, beliau berkata, undi yang diperolehi oleh veteran DAP, Lim Kit Siang bukan semuanya daripada pengundi kaum Cina tetapi ada juga daripada orang Melayu.
"Ada golongan Melayu mungkin 40 tahun ke bawah sebenarnya mengundi bukan menyokong Cina tetapi Pakatan Rakyat.

"Jadi susah saya hendak menerima hanya faktor ras ini," katanya.




Pandangan sama juga dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad, Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya apabila beliau bertanya apakah prestasi BN yang lebih buruk berbanding pilihan raya 2008 ini petanda "pengundi tidak lagi menerima BN dan kerajaan BN seperti yang wujud sekarang."

"Adakah tidak mungkin bahawa ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme kaum, tetapi tsunami Malaysia yang berpaksikan aspirasi dan realiti baru, khasnya di kalangan pengundi muda?" tanya beliau dalam tulisannya itu.

BN menang 133 kerusi di Dewan Rakyat manakala Pakatan Rakyat memperolehi 89 kerusi iaitu pertambahan 7 kerusi berbanding 2008. Dalam pilihan raya umum pada 2008, BN menang 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat 82.

Sementara itu, Dr. Jeniri membuat pemerhatian antara faktor kenapa BN mengekalkan kemenangan yang besar di Sarawak ialah kerana pemikiran pengundi yang ditanam dengan fahaman "jangan lawan kerajaan".

"Keduanya, politik pembangunan masih lagi perkiraan utama apabila penduduk masih mengutamakan kemudahan infrastruktur asas, jalan raya, klinik, bekalan api air dan segalanya," katanya.

Beliau juga membuat pemerhatian, kepulangan pengundi muda yang balik mengundi di Sarawak tidak memberikan kesan besar kepada perubahan pola pengundian biarpun mereka terdedah kepada maklumat politik dari Kuala Lumpur.