Tiada unsur hasutan dalam protes yang diadakan di hadapan gereja di Taman Medan semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut beliau, ini adalah kerana bantahan tersebut diadakan berhubung isu lokasi gereja dan bukan menyentuh soal agama Kristian.

"Kita tidak lihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh tentang agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja berkenaan," katanya seperti dipetik The Malaysian Insider.

Sekumpulan 50 penduduk Taman Medan di Petaling Jaya pada Ahad dilapor melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sebuah gereja yang baru sahaja dibuka di situ.

Mereka turut mempersoalkan lambang salib yang diletakkan di luar gereja berkenaan selain menuntut ia diturunkan kerana lambang suci penganut Kristian itu dikatakan boleh mempengaruhi minda penduduk muda beragama Islam di sana.

Sementara itu, salah seorang penduduk Taman Medan, Datuk Abdullah Abu Bakar ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bahawa gereja tersebut tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

"Tentang (urusan) menjalankan aktiviti tanpa kebenaran, kita serah kepada pihak berkuasa untuk selesaikannya," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, katanya beliau juga telah berjumpa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan beliau (Ahmad Phesal) memaklumkan akan membawa perkara ini ke peringkat negeri.

Dalam pada itu, Abdullah turut memberitahu bahawa adiknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk bertanya tentang situasi isu berkenaan.

"Jadi, saya beritahulah pada adik saya... tak ada apa, semua dah selesai. Dan saya pun dah terangkan situasi sebenar," katanya.

Pada petang tadi juga, Abdullah telah mengadakan sidang media bersama penduduk Taman Medan bersama Ahmad Phesal dan pihak MBPJ.