Tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden bateri rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar semasa penerbangan pesawat Malindo Air pada Sabtu lepas, namun mendapati ia akibat kecuaian penumpang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata polis telah menemui mangsa dan memutuskan insiden itu bukan kesalahan jenayah sebaliknya kecuaian penumpang berkenaan.

"Sebab itu tiada tindakan diambil ke atas penumpang itu...sebenarnya tiada kaitan dengan bidang kuasa polis," katanya diminta mengulas insiden berkenaan ketika ditemui pada majlis serah terima 10 kereta peronda model Inspira di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, penumpang dan krew penerbangan OD1003 dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) cemas selepas bateri rokok elektronik milik penumpang itu yang diletakkan di dalam beg yang diribanya, terbakar secara tiba-tiba.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata polis menahan empat anggota Geng Angah Sri Nanding pada 8 Okt lepas, sekali gus menyelesaikan tujuh kes samun premis perniagaan 24 jam dan lima kes samun jalanan yang aktif dilakukan kumpulan itu sejak awal tahun ini.

Katanya tiga lelaki dan seorang perempuan itu ditahan selepas polis menyerbu dua rumah di Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Kajang serta merampas sebuah kereta, sebuah motosikal dan dua bilah parang panjang bersama pelbagai jenis barangan lain yang dipercayai hasil perbuatan jenayah.

Semua suspek berumur antara 18 hingga 26 tahun itu ditahan susulan laporan polis oleh pengurusan sebuah kedai serbaneka di Dengkil yang disamun geng itu pada kira-kira 4 pagi, 28 Sept lepas, katanya.

Abdul Aziz berkata polis kini giat memburu dua lagi anggota kumpulan itu.

Berhubung kereta peronda baharu itu, beliau berkata ia memperkasakan keupayaan sembilan balai di bawah IPD Sepang dalam melakukan tugasan pencegahan jenayah.

Semua balai itu diarahkan melakukan empat rondaan setiap hari atau sekurang-kurangnya 100 kilometer sehari ke segenap kawasan di bawah pentadbiran masing-masing.