Kerajaan tidak akan membenarkan pekerja asing untuk menyertai barisan petugas hadapan ketika negara sedang mengawal penularan wabak COVID-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, usaha itu merupakan langkah kerajaan bagi membuka ruang kepada warga tempatan terutamanya golongan belia dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran.

“Mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan tidak akan membuka sektor barisan hadapan kepada warga asing dan tidak bermaksud kita tidak benarkan langsung.

“Jika di stesen minyak kita benarkan pekerja asing menjadi pembantu pam tetapi mereka tidak bertugas di kaunter.

"Di kedai makan, kita benarkan pekerja asing menjadi tukang masak tetapi di barisan hadapan masih diperlukan warga tempatan.

"Ini antara langkah memastikan warga tempatan khususnya belia bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berhubung hala tuju kerajaan berhubung masa depan belia yang bakal menerajui negara pada masa akan datang, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah mewajibkan pengiklanan kekosongan jawatan menerusi portal JobsMalaysia bagi tempoh tidak kurang dari 30 hari dalam usaha memastikan tiada isu kebergantungan kerja terhadap golongan pekerja warga asing.

Namun jelas Saravanan, majikan dibenarkan untuk mendapatkan tenaga kerja daripada warga asing menerusi permohonan sekiranya tiada sambutan daripada warga tempatan.