“Persepsi melabelkan pesakit psikiatri sebagai gila sebenarnya salah sama sekali,” tegas Setiausaha Kehormat Persatuan Psikiatrik Malaysia, Prof Madya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahri.

Beliau berkata tahap penyakit yang dialami pesakit psikiatri mempunyai pelbagai peringkat.

Dr Muhsin menjelaskan jika orang ramai terus melabelkan pesakit psikiatri dengan perkataan ‘gila’, ia mungkin akan menyisihkan golongan yang sepatutnya mendapatkan rawatan.

“Disebabkan label, pesakit tidak mahu berjumpa dengan doktor. Keadaan ini juga mungkin menyebabkan penyakit yang dialami oleh pesakit mental menjadi lebih teruk.

“Disebabkan cara masyarakat melabel juga kadang-kadang akan menyebabkan impak yang lebih teruk kepada pesakit sehingga mereka cuba membunuh diri atau membahayakan orang lain,” tambahnya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.


Bahaya stigma kesihatan mental

BACA: Jabatan Perubatan UM adakan sambutan bulan kesedaran kesihatan mental Oktober ini

BACA: Ada sesuatu mengganggu fikiran? Anda tidak berseorangan, #LetsTalkAboutIt


Beliau juga berkata, pesakit yang mengalami penyakit seperti kemurungan, skizofrenia, dan bipolar tidak sewajarnya dikategorikan sebagai gila.
Tidak adil melabelkan pesakit mental ini sebagai gila. Mereka tidak meminta penyakit ini.

“Penyakit psikiatri ini seperti penyakit darah tinggi atau kencing manis. Maksudnya, tiada siapa yang mahukan penyakit ini.

"Jadi tidak adil melabelkan mereka ini sebagai gila, terutama kalau jika tahap penyakit yang dialami tidak serius. Daripada tidak serius sehinggalah serius; dan penyakit ini ada ubatnya,” jelasnya lagi.

Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lalu melaporkan bahawa kira-kira 30 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Ini bermaksud hampir sembilan juta rakyat sedang berhadapan dengan isu kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan bipolar, dan gangguan emosi.

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Dr Koh Ong Hui daripada UM, pesakit mental pada lazimnya hanya mendapatkan bantuan selepas menghidapinya untuk beberapa tahun.

Jelasnya, kesan rawatan lambat boleh mengancam nyawa.


Sejauh mana kesedaran kita mengenai kesedaran mental?