Walaupun kempen Pilihan Raya Umum (PRU), tapi biarlah secara bertika, tegas Editor Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi.

Katanya, kempen seperti itu bukan sahaja tidak beretika, malah ia menjejaskan kredibiliti mereka.

"Bahan yang diedarkan itu mungkin palsu kerana kami sendiri tidak tahu dari mana sumbernya.

"Kami di Sinar Harian tidak mahu dikaitkan dengan taktik-taktik kotor oleh mana-mana parti yang bertanding pada PRU14 kali ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Individu edar Sinar Harian palsu

Azmi mengulas mengenai penyebaran akhbar palsu secara percuma yang menggunakan masthead dan template Sinar Harian serta mengandungi berita yang tidak benar.

Akhbar Sinar Harian palsu diedarkan individu tidak bertanggungjawab di Melaka.
Perkara itu diberitahu oleh seorang pembaca di Melaka melalui WhatsApp.

Katanya, muka hadapan akhbar palsu itu bertajuk "Janji Sulit Tun M-Najib"’ sangat berlainan dengan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang bertajuk "Hadi Nasihat Tun M."

Justeru, satu laporan polis dibuat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Dalam pada itu, Azmi turut menasihati para pembaca untuk terus menghubungi wartawan Sinar Harian sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung akhbar berkenaan.

"Pembaca setia mungkin tahu konsep kami, apa yang kami paparkan dan kalau rasa ragu-ragu boleh terus hubungi wartawan negeri di setiap daerah kerana berita palsu ini boleh dikaitkan dengan Akta Berita Palsu, kan?

"Jadi kami tidak mahu terbabitlah dengan berita-berita palsu macam ni," tambahnya.