Kerajaan Negeri Kedah tidak berhasrat meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 bagi membolehkan suami berpoligami tanpa kebenaran, mendaftarkan perkahwinan baharunya tanpa kehadiran isteri sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, peruntukkan sedia ada di bawah Seksyen 23(5) enakmen itu yang memerlukan isteri sedia hadir adalah penting untuk memberikan keadilan kepada mereka.

"Kahwin lain berani, nak hadap dengan isteri sedia ada tak berani, saya rasa isteri (sedia ada) perlu diberikan keadilan. Macam mana dia (suami) duduk satu rumah buat benda tu (kahwin lain), tapi langsung tak bagi tahu kepada isteri.

"Pihak suami kena tahu, mahkamah panggil isteri sedia ada bukan minta kebenaran isteri supaya suami boleh kahwin lain tetapi hanya untuk memaklumkan dan hormati isteri sedia ada.

"Kebenaran kahwin ini daripada pihak mahkamah. Makna kata, bila dah kahwin dan mahkamah pun akan mengesahkan perkahwinan mereka itu. Jadi, peruntukan sedia ada ini wajar ada dan tak perlu pinda untuk berikan keadilan kepada isteri pertama (atau sedia ada)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan negeri mempertimbang meminda peruntukan di bawah Seksyen 23(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008, bagi membolehkan suami yang berpoligami tanpa kebenaran mendaftar perkahwinan tanpa kehadiran isteri sedia ada.

Semalam, Bernama melaporkan halangan daripada keluarga atau isteri pertama menjadi penyebab utama sebilangan warga Malaysia bernikah tanpa kebenaran di luar negeri terutama selatan Thailand.

Laporan sama juga menyatakan ramai suami berpoligami dan bernikah tanpa kebenaran di negara jiran itu, tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di negara ini.

Dr Ismail berkata, peruntukkan sedia ada yang memerlukan isteri sedia ada hadir, sebelum suami yang berpoligami mendaftarkan perkahwinan baharunya mungkin menjadi antara faktor menyebabkan pendaftaran untuk perkahwinan baharu itu tidak dibuat di sini.

"Suami sepatutnya perlu ada keberanian untuk memaklumkan kepada isteri sedia ada, mengenai pernikahan baharunya itu kerana kebajikan mereka seperti mendapatkan nafkah wang ringgit secara adil sebagai isteri juga perlu diberikan keutamaan penting.

"Pihak lelaki kena ada sedikit keberanian berhadapan dengan isteri pertama (atau sedia ada). Perkahwinan sesuatu benda yang baik, dan kahwin lebih daripada satu pun dibenarkan dalam Islam. Jadi, kenapa dalam pelaksanaan benda baik ini, tidak dapat berikan keadilan kepada isteri sedia ada," katanya. -- Bernama