Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Halimaton Saadiah Saad, mengumumkan bahawa kerajaan negeri Kedah akan memperuntukkan sekitar RM5 juta bagi membantu kesemua mangsa ribut di negeri itu.


Walau bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah terbabit hanya melibatkan kerosakan pada peringkat awal bencana dan mungkin akan ditambah, memandangkan pihaknya masih belum menerima laporan terperinci daripada pihak berkuasa, berkenaan jumlah sebenar kerugian yang dialami penduduk.



Jelasnya, mangsa yang terjejas teruk juga akan diberikan bantuan kewangan melalui Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 (maksimum) oleh kerajaan negeri bagi meringankan bebanan kewangan yang ditanggung selepas pihaknya menerima laporan penuh pemulihan bencana, dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



Tambah Halimaton, pihak kerajaan negeri ketika ini turut mengharapkan keprihatinan kerajaan pusat untuk menyalurkan bantuan kewangan.


Ini memandangkan proses pemulihan akibat kejadian ribut pada Jumaat, memerlukan kos yang sangat tinggi.



"Kalau kata nak ikut di Kubang Pasu ini saya kita dah ada setiap rumah kalau macam kita tengok mesti melibatkan RM20,000 ke RM30,000 sebuah, kalau seluruh negeri Kedah, bermakna RM5 juta diperlukan.

“Itu pun tidak tahu lagi sebab laporan tidak tepat, saya kira berdasarkan laporan polis baru kita dapat kenal pasti kerosakan itu, tetapi memang jutaan ringgit yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk bantu mangsa ribut,” katanya ketika ditemui media selepas program penyerahan bantuan ribut peringkat DUN Bukit Kayu Hitam di Kampung Kepala Kerbau, Changlun, pada Sabtu.



Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesahkan kejadian ribut melanda beberapa negeri di utara tanah air termasuk negeri Kedah.

Kejadian dikatakan berpunca daripada ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.



Menurut Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, garis badai itu berlaku disebabkan tumpuan angin di selatan negara Thailand yang turut menerima kesan yang sama.