Polis antarabangsa (Interpol) dan ejen perisikan antarabangsa telah bertindak secara profesional dalam mengesan jutawan dari Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) belum memperoleh sebarang maklumat terperinci berhubung perkara tersebut.

Malah, katanya, perkara tersebut telah dimuktamadkan dan kerajaan yakin kes itu tidak lagi relevan.


"Mengenai kes itu, kita (PDRM) memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di mana orang yang telah dimaksudkan (Jho Low).

"Kita amat yakin bahawa pihak Interpol telah bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol.

"Namun, kita yakin apa yang telah dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutama agensi perisikan, telah dimuktamadkan.

"Dan kita yakin kes itu tidak lagi relevan, kecuali yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak puas hati dengannya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berkenaan usaha Interpol dalam mengesan Jho Low.

Pada 2015, Ahmad Zahid menyatakan di Parlimen, Interpol PDRM turut tidak dapat mengesan empat individu lain iaitu bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia Datuk Yusof Annuar Yaacob.

Nik Faisal dan Low dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan SRC International manakala Tang dan Loo dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.