Kuala Lumpur:Membuka tirai tahun 2021, pastinya dunia menyimpan harapan agar penularan pandemik COVID-19 dapat ditamatkan, sekali gus membolehkan masyarakat menikmati kehidupan seperti biasa.

Justeru, harapan ketika ini bertumpu pada pembangunan vaksin yang bermula sejak awal tahun lalu dan kini sebahagiannya sudah berada pada peringkat pengagihan di seluruh dunia dan tidak terkecuali Malaysia.

Untuk rekod, berkaitan status perolehan vaksin COVID-19 di Malaysia, kerajaan bakal memuktamadkan perjanjian dengan pembangun vaksin, Sinovac, CanSinoBIO dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan liputan vaksin kepada 83 peratus populasi.

Setakat ini, negara mempunyai jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus populasi menerusi COVAX (yang merupakan perjanjian vaksin pertama dimeterai oleh kerajaan pada 22 November lalu), Pfizer dan AstraZeneca.

Bagaimanapun, tinjauan Astro AWANI menerusi pungutan suara  di Twitter, terhadap persepsi rakyat malaysia mengenai suntikan vaksin mendapati 58.6 peratus daripada 2,297 responden bersetuju untuk divaksin, namun mengambil pendekatan tunggu dan lihat

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga Bhd, Dr Badarulhisam Abdul Rahman berkata, persepsi tersebut didorong berikutan timbulnya cerita-cerita tidak tepat khususnya berkaitan kesan sampingan sehingga menakutkan masyarakat.

“Dalam kes vaksin COVID-19 atau apa jua vaksin sekalipun, ia sentiasa ada pemantauan selepas disuntik. Pihak berkuasa akan memantau kesan sampingan dan jika berlaku demam dan sebagainya tindakan wajar akan diambil.

“Melihat kepada peratusan kesan sampingan yang rendah ini, ia sepatutnya tidak merisaukan orang ramai dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Dapatan daripada pungutan suara tersebut turut menunjukkan sebanyak 35.1 peratus ingin divaksin, manakala 6.3 peratus lagi menolak vaksin COVID-19.


Vaksin dibangunkan dengan pelbagai teknologi berbeza dan turut mencatatkan tahap keberkesanan berbeza.

Pembangun vaksin, Pfizer menggunakan teknologi mRNA dengan tahap keberkesanan interim 95 peratus, AstraZeneca (Adenovirus; 60 hingga 90 peratus), Sinovac (virus tidak teraktif; akan diumumkan), CanSinoBIO (Adenovirus; akan diumumkan) dan Gamaleya (Adenovirus; 91.4 peratus).

Jelas beliau, orang ramai seharusnya tidak perlu bimbang kerana pembangunan vaksin ini dilaksanakan dalam garis panduan yang ketat dan dipantau rapi pihak berkuasa, khususnya berkaitan jaminan isu keberkesanan dan keselamatan produk.

“Vaksin yang dihasilkan tersebut telah melepasi syarat-syarat atau standard ditetapkan, justeru jaminan telah dibuat oleh agensi penguat kuasa sesebuah negara seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya jika di negara kita.

“Namun apa yang kita lihat sekarang adalah sentimen dimainkan dalam media sosial yang menyebabkan masyarakat terlalu fokus kepada tanggapan negatif sehingga takut untuk divaksin. Ia sepatutnya berlaku sebaliknya,” ujarnya.

Pembangunan vaksin ini dilaksanakan dalam garis panduan yang ketat dan dipantau rapi pihak berkuasa.

Tambah Badarulhisham, bagi mengembalikan keyakinan rakyat, pihak berkuasa perlu mengambil langkah memastikan penerangan yang jelas kepada orang ramai tentang kebaikan vaksinasi dan manfaat kepada kehidupan.

“Tujuan utama vaksinasi adalah untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat, malah kita sebenarnya sudah tidak sanggup untuk hidup dalam keadaan ‘diburu’ dengan perasaan takut dijangkiti.

“Jika kita mendapat imuniti yang baik, kita bersedia untuk ke mana-mana sahaja dan menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini. Satu-satunya cara dan pilihan yang ada adalah mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.